Sunday, March 27, 2016

Gual Saneng



Kaul biasanya diraikan oleh suku kaum Melanau pada bulan Pengejin, iaitu di antara penghujung bulan Mac atau awal bulan April. Pada zaman dahulu, tarikh kaul ditetapkan oleh seorang pemimpin di peringkat kampung yang dikenali sebagai A-Nyat. Penetapan tarikh kaul tertakluk pada beberapa faktor. Antara faktor yang diambil kira di dalam menentukan tarikh sesuai ialah cuaca yang baik seperti hari tidak hujan, laut tidak bergelora dan air tidak pasang pada sebelah pagi hingga tengah hari. Bagaimanapun, sejak dua dekad lalu, yang menentukan tarikh kaul di daerah Mukah ialah Jawatankuasa Kaul yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dengan ahlinya termasuk Pemanca, Penghulu dan Ketua Kampung. Penetapan tarikh ada kebaikannya. Ini akan memudahkan penduduk setempat mengetahui bilakah tarikh sebenar kaul akan diadakan. Kini, tarikh Pesta Kaul Mukah telah dimasukkan ke dalam kalendar perlancongan Sarawak. Tarikh perayaan kaul tidak diselaraskan untuk keseluruhannya kerana setiap kampung dan kawasan akan mengadakannya pada masa yang berlainan. Kaul di Oya, Dalat, Mukah dan kawasan penempatan kaum Melanau yang lain tidak diraikan pada tarikh dan hari yang sama. 

Apabila tarikh kaul telah ditetapkan, seorang wakil kampung akan memukul canang atau gong pada malam sebelum kaul diadakan. Wakil yang dipilih adalah seorang lelaki yang mempunyai suara yang lantang dengan bahasa yang lancar dan masih cergas untuk menjalankan tugas. Di kampung Tellian, Mukah misalnya, antara orang yang pernah diamanahkan untuk memukul canang ialah Alam Brahim, Sepaong Mum dan Pateran Lebai. Canang akan dipukul sekitar jam 7 malam ketika penduduk kampung sudah berada di rumah masing-masing sekembalinya dari hutan, kebun dan laut. Pengumuman akan dibuat dari hulu hingga ke hilir sungai. Tukang pukul canang akan ditemani oleh seorang pembantu yang akan mengemudi dan mengayuh perahu. Di sesetengah kampung, tukang pukul canang juga dikenali sebagai Tukeng Gual. Pengumuman yang dibuat oleh tukang pukul canang berbunyi seperti berikut :

Woi kelou a dekakak
Wak bei lubeang kapoung
Itou saneng kuman perintah
Peteguoh gak kelou semua
Lai mahou, nyat umik
Lau minggu itou neh telou bak kaul
Sedia awel suab
Bak pegupul gak kala dana
Telou bak kaul



Sumber daripada facebook Encik Eduine Kusai 


Pengumuman akan dilakukan sebanyak dua kali. Pengumuman pertama akan dibuat tujuh hari sebelum hari kaul berlangsung dan pengumuman kedua ialah pada malam sebelum kaul berlangsung keesokan harinya. Pengumuman pertama itu memberi masa yang mencukupi kepada penduduk kampung untuk membuat persiapan. Mereka sekurang-kurangnya dapat membuat perancangan awal dari segi pengurusan kerja. Selepas upacara kaul selesai dijalankan, penduduk setempat tidak akan keluar ke hutan dan ke laut untuk beberapa hari. Maka, segala pekerjaan yang belum disiapkan akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari sebelum hari kaul berlangsung. Bagi mereka yang telah mengetahui tarikh itu lebih awal, mereka akan membuat persiapan untuk menghiasi perahu yang akan digunakan semasa kaul dan akan menyiapkan makanan seperti lauk pauk dan kuih muih yang akan dibawa sebagai bekal untuk dibawa ke tapak upacara kaul yang akan dijalankan nanti. Persiapan awal amat penting bagi memastikan semua orang dapat menyertainya dan upacara kaul dapat dijalankan dengan lancar. Sudah menjadi tradisi dan amalan masyarakat Melanau sejak zaman dahulu, semua penduduk dijemput hadir untuk turut meraikannya walaupun pendirian terhadap kaul sudah banyak berubah pada masa kini.  


Tama Kaul


Tama Kaul atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai bapa kaul, adalah seorang ketua upacara bagi mengetuai ritual kaul. Jawatan Tama Kaul dianggap amat penting kerana sebagai seorang ketua, Tama Kaul bertanggungjawab untuk memastikan upacara itu berjalan mengikut peraturan dan adat yang telah diperadatkan sejak turun temurun dan akan menjadi perantara atau menjadi orang tengah untuk berhubung dan berkomunikasi di antara masyarakat di alam nyata dengan Ipok di alam maya. Tama Kaul juga bertanggungjawab untuk memujuk dan merayu kepada Ipok untuk menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa, malah Tama Kaul juga perlu untuk memastikan segala pantang larang dipatuhi dan akan menghukum mereka yang ingkar. Tama Kaul mestilah seorang lelaki, diiktiraf oleh masyarakat dan arif tentang selok belok adat. Tama Kaul  tidak boleh dilantik atau dipilih dari orang yang sembarangan. Tama Kaul akan dilantik berdasarkan pengalaman, status, dan pengetahuannya yang mendalam tentang adat tersebut.   Tama Kaul kebiasaannya adalah seorang yang dihormati dan disegani oleh masyarakat kerana keperibadiannya, keturunannya, jawatan dan berpengetahuan luas tentang adat resam dan budaya Melanau. 

Tama Kaul bagi masyarakat Melanau di Mukah adalah berbeza dengan Tama Kaul di Dalat. Di Dalat, Tama Kaul adalah daripada keturunan Sepok. Sepok adalah seorang panglima yang berasal dari Kampung Medong, Dalat. Adat kaul di Dalat dikatakan bermula setelah Sepok memelihara belisieng. Orang lain tidak boleh menjadi Tama Kaul di Dalat kerana ianya sudah menjadi adat turun temurun dan semacam sumpahan bagi keturunan Sepok. Jawatan Tama Kaul dari keturunan Sepok di Dalat dikatakan belum pernah digantikan sejak beberapa generasi kerana penduduk setempat takut akan terjadi sesuatu yang tidak diingini menimpa mereka jika mereka mengingkarinya. Lebih dari sembilan orang daripada keturunan Sepok telah menjadi Tama Kaul. Masyarakat setempat percaya bahawa Tama Kaul dari keturunan Sepok mempunyai keramat untuk menjalankan upacara kaul lebih-lebih lagi untuk memandikan belisieng yang telah dipelihara sejak berkurun lama.

Tama Kaul sebagai orang yang telah diberi amanah untuk memujuk Ipok secara langsung melalui doa yang dizahirkan mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan amanah yang diletakkan di atas bahunya dapat dilaksanakan sebaik-baiknya. Mereka lah yang menjadi tempat bergantung harap masyarakat setempat, terutamanya pada zaman dahulu. Doa yang disampaikan oleh Tama Kaul di dalam upacara kaul menjadi penentu bagi nasib dan kehidupan penduduk setempat. Sebagai perantara antara manusia dengan Ipok, beban tanggungjawab itu tidak boleh dipandang enteng oleh mereka yang bergelar Tama Kaul. Oleh itu, kedudukan mereka sebagai pemimpin elit tradisional amat dihormati oleh masyarakat setempat. 

Saturday, March 26, 2016

Pengenalan Tentang Kaul



Kaul adalah suatu perayaan yang diraikan oleh suku kaum Melanau di Sarawak, Borneo. Perayaan kaul biasanya diraikan oleh suku kaum Melanau yang tinggal di bahagian Mukah. Pada zaman dahulu, kaul dilihat sebagai suatu majlis keagamaan iaitu upacara penyucian dan kesyukuran bagi suku kaum Melanau untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan dan ladang yang dikenali sebagai Ipok. Kaul juga dirayakan sebagai tanda terima kasih dan untuk memohon restu daripada Ipok supaya memperolehi kedamaian serta nasib yang baik di dalam menjalani kehidupan seharian. Pada zaman dahulu, suku kaum Melanau mempercayai bahawa Ipok adalah penjaga bagi sekalian alam.

Kaul kebiasaannya akan diadakan pada permulaan atau pembuka tahun baru mengikut kalendar suku kaum Melanau iaitu pada bulan Pengejin, sekitar bulan Mac dan April jika dirujuk melalui kalendar Gregory. Ianya amat bertepatan dengan berakhirnya musim monsun timur laut atau musim tengkujuh yang amat memberi kesan kepada kehidupan seharian suku kaum Melanau yang kebanyakkannya adalah petani dan nelayan. Contoh kesan buruk musim tengkujuh kepada penduduk setempat adalah, para nelayan akan menghadapi kesukaran untuk turun ke laut dan musim tengkujuh juga akan menyebabkan banjir di kampung-kampung tertentu yang mengakibatkan tanaman musnah disebabkan oleh banjir. 

Kaul akan diadakan mengikut hari dan tarikh yang tertentu. Di dalam sesebuah kampung, seorang ketua akan dilantik bagi menentukan tarikh kaul. Orang itu dikenali sebagai A-Nyat. A-Nyat akan menentukan bilakah hari terbaik untuk mengadakan kaul. Setelah tarikh ditetapkan oleh A-Nyat, seorang tukang pukul canang ataupun tukang gual akan dilantik bagi mengumumkan kepada seluruh kampung tentang tarikh kaul yang bakal diadakan. Tukang gual akan keluar sekitar jam 7 malam iaitu ketika penduduk kampung sudah berada di rumah masing-masing sekembalinya mereka dari laut dan hutan. Tukang gual akan ke hulu dan ke hilir sungai mengumumkan tentang tarikh kaul. Tarikh kaul akan diumumkan seminggu sebelum hari kaul diadakan. Maka, penduduk kampung akan bersiap-siap di dalam tempoh tersebut untuk menghabiskan sisa-sisa kerja di hutan misalnya dan untuk bergotong royong menyiapkan bahan-bahan bagi upacara kaul.  

Kaul Mukah pada awal 60-an
Kaul Mukah pada awal 60-an

Apabila tibanya hari kaul, penduduk kampung akan berkumpul pada awal pagi di setiap kampung masing-masing. Seorang ketua yang dilantik akan mengetuai upacara tersebut. Orang tersebut dikenali sebagai Tama Kaul ataupun bapa kaul. Pada zaman dahulu, kaul bagi setiap kampung adalah berbeza, malah kaul bagi daerah Mukah dan Dalat juga berbeza caranya. Ada kampung yang hanya meraikan kaul di setiap kuala-kuala sungai. Misalnya seperti penduduk Kampung Sesok, akan berkaul di kuala Sungai Sesok. Selain itu, ada juga penduduk kampung yang akan meraikan kaul di pantai terutamnya penduduk kampung yang tinggal di kawasan hilir yang berdekatan dengan pantai. Kebiasaannya, kaul akan dimulakan di bahagian hulu sungai terlebih dahulu dan akan berakhir di pantai. Penduduk kampung akan membawa Seraheng, iaitu sebagai jamuan untuk santapan Ipok atau lebih dikenali sebagai kepala hantaran. Di dalam Seraheng, akan diletakkan makanan. Seraheng itu tadi akan dipacakkan di atas tanah tempat upacara kaul akan diadakan. Misalnya di pantai Kala Dana, Seraheng akan dipacakkan di tugek pantai Kala Dana. Dan misalnya di Penakub, seraheng akan dipacakkan di atas tebing kuala Sungai Penakub. Ritual tersebut akan dimulakan oleh Tama Kaul dengan membaca doa kaul ataupun miyap mibau untuk menyeru Ipok. Fungsi Tama Kaul di dalam upacara ini adalah sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan Ipok. Hanya Tama Kaul sahaja yang boleh berkomunikasi dengan Ipok. Sebab itulah Tama Kaul adalah seorang yang dilantik dan bukanlah orang yang sembarangan. Setelah selesai upacara kaul, para pengunjung akan makan beramai-ramai di kawasan kaul tersebut. Penduduk kampung akan berpantang selama tiga hari selepas upacara kaul selesai diadakan. Di dalam tempoh palei tersebut, penduduk kampung tidak dibenarkan untuk keluar ke laut dan ke hutan. Jika ada yang ingkar, seseorang itu akan dianggap biadap dan sengaja mencari masalah. Sesuatu yang buruk dikatakan akan menimpa kepada seseorang yang ingkar untuk berpantang selama tiga hari selepas upacara kaul. 

Perubahan agama dan anutan di dalam kalangan masyarakat Melanau pada hari ini turut mengubah aplikasi dan kepercayaan kaul yang asli. Kehadiran Islam dan Kristian telah membawa senario yang 
baru kepada kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai sebuah pesta sosio-budaya untuk mengekalkan adat warisan suku kaum Melanau sejak berkurun lamanya. Namun, di dalamnya masih terselit keunikan warisan bangsa Melanau di bumi Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut peredaran masa. Kini, pesta kaul telah menjadi medan perkelahan komuniti terbesar bagi masyarakat Melanau. 

Pengumuman Tarikh Kaul Mukah 2016




Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah dan Pejabat Residen Bahagian Mukah sekali lagi menjadi penganjur Pesta Kaul Mukah tahun ini yang akan diadakan di Tapak Pesta Kaul, Taman Kala Dana, Mukah pada 6, 7 dan 8 Mei depan. Pengumuman ini khas ditujukan kepada orang ramai yang berada di seluruh Sarawak dan pengunjung Pesta Kaul Mukah dari luar Sarawak, seperti di Semenanjung Malaysia, Sabah serta negara-negara luar. 

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Melanau Mukah, Jennifer Sukor @ John, tarikh ini adalah satu tarikh yang telah ditetapkan melalui satu mesyuarat sempena Pesta Kaul Mukah 2016 yang telah diadakan sebelum ini. 

Katanya, Pesta Kaul kali ini tidak dapat dilangsungkan dalam bulan April seperti biasa disebabkan tarikh asal Pesta Kaul Mukah yang pada mulanya dirancang pada penghujung bulan April, berkemungkinan akan bertindih dengan tarikh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.

Tarikh acara : 
9 April 2016 (Kaul Seraheng Kakan)
6 Mei - 8 Mei 2016 (Kaul Mukah)

Website : www.kaulmukah.com

Contact : Mr. Pengiran Saifudzin Pengiran Mahtar 

Phone : 084-872595

Fax : 085-656405

Email : john_jennifer@hotmail.com

Source : 

Mobile apps : Mukah Travel and Event Guide (google playstore)

Melanau, Tiada Seuniknya



Melanau ataupun A-Liko adalah etnik pribumi di Sarawak, Borneo. Etnik Melanau adalah antara peneroka terawal di Sarawak. Melanau adalah etnik minoriti di Sarawak dengan jumlah penduduknya seramai 200,000 orang daripada 2.4 juta rakyat Sarawak dan suku kaum Melanau ini mewakili 8.4% rakyat Sarawak. Pada tahun 2010, etnik Melanau dianggarkan seramai 123,410 orang yang menjadikan etnik Melanau sebagai etnik kelima terbesar di Sarawak selepas kaum Iban, Cina, Melayu dan Bidayuh.

Pada abad ke-19, taburan komuniti Melanau adalah terletak di sepanjang anak-anak sungai utama di  sekitar Sungai Rajang. Etnik Punan atau Punan Bah dikatakan berkait rapat dengan kawasan penempatan Melanau di Sungai Rajang sebelum etnik Melanau berimigrasi ke pesisir pantai Sarawak. Etnik Punan sebelum ini dikatakan pernah mendiami kawasan kediaman masyarakat Melanau yang terletak di tengah-tengah dan bahagian hulu Sungai Rajang. 

Apa yang menarik tentang Melanau adalah, etnik Melanau mempunyai banyak bahasa mengikut kawasan. Ada juga diantaranya telah pupus kerana tidak dituturkan dan ada juga yang diancam kepupusan. Jenis suku Melanau dapat diklasifikasikan mengikut dialek dan kawasan seperti berikut ; 

Kuala Rajang
  • Melanau Rajang
  • Melanau Jerijeh
  • Melanau Belawai
  • Melanau Segalang
  • Melanau Paloh


Seduan - Sibu
  • Melanau Sibu
  • Melanau Kanowit
  • Melanau Tanjong
  • Melanau Igan
  • Melanau Banyuk
  • Melanau Seduan


Matu - Daro
  • Melanau Matu
  • Melanau Daro
  • Melanau Pulau Bruit 
  • Melanau Batang Lasa


Mukah - Dalat
  • Melanau Mukah
  • Melanau Oya
  • Melanau Dalat


Melanau Balingian (diancam kepupusan kerana ramai anak Melanau Balingian kini bertutur bahasa Melanau Mukah)


Bintulu
  • Melanau Vaie 
  • Melanau Tatau
  • Melanau Niah
  • Melanau Sungai Kemena
  • Melanau Sibiew


Dialek Melanau yang telah pupus
  • Melanau Sitieng
  • Melanau Beliun
  • Melanau Segalang
  • Melanau Seru



Pada masa kini, kita boleh menyaksikan penempatan suku kaum Melanau paling banyak adalah di Bahagian Mukah dan secara tidak langsung telah menjadikan penduduk majoriti di dalam bahagian Mukah adalah dari suku kaum Melanau itu sendiri. Bahagian Mukah yang merangkumi dari daerah Balingian, Mukah, Oya, Dalat, Igan, Matu, Daro, dan Belawai juga telah dikenali sebagai "The Melanau Heartland". Justeru, penempatan imigrasi Melanau juga dapat dijumpai di sekitar Kuching dan Miri. Di Kuching, penduduk Melanau Matu dikatakan telah berimigrasi ke Bintawa sejak perang dunia ke-2. Manakala di Miri pula, komuniti Melanau yang kebanyakkannya Melanau Mukah dapat dijumpai di mana-mana khususnya di Kampung Wireless, Kampung Bakam dan Piasau Utara. Apa yang unik mengenai Kampung Piasau Utara adalah, boleh dikatakan majoriti masyarakat di situ adalah terdiri dari orang Melanau Mukah sendiri dan boleh diibaratkan sebagai "Small Mukah Village".

Etnik Melanau secara tradisinya adalah nelayan dan petani tanaman rumbia. Ada juga diantaranya adalah pembuat bot yang sangat mahir. Jadi, tidak hairanlah suku kaum Melanau ini digelar sebagai orang sungai dan dikenali dunia sebagai pelayar dan pelaut yang hebat suatu ketika dahulu. Etnik Melanau pada asalnya juga mendiami rumah tradisionalnya yang tersendiri seperti kaum lain di Sarawak misalnya seperti kaum Iban yang tinggal di rumah panjang. Suku kaum Melanau tinggal di sebuah rumah besar yang lebih dikenali sebagai Melanau Tall House atau Lebuk Regau. Walaupun pada masa kini suku kaum Melanau tidak lagi mendiami rumah tinggi seperti dahulu kala, namun mereka masih bergaul bersama di dalam satu kampung malah satu bumbung walaupun berbeza agama. Tinggalan rumah tinggi Melanau masih boleh disaksikan di Kampung Tellian, Mukah dan di Kampung Medong, Dalat. Hanya tiang seri rumah sahaja yang tinggal. Tiang-tiang tersebut adalah tiang rumah tinggi Melanau yang pernah berdiri gah suatu ketika dahulu yang telah hangus terbakar. Pada masa kini, rumah tradisional Melanau boleh disaksikan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching sebagai pengenalan kepada orang ramai rupa bentuk atau replika rumah tradisi suku kaum Melanau yang asli. Walaupun rumah tradisional Melanau yang asli kebanyakkannya telah pupus, masih terdapat sebuah lagi rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga kini dan dikatakan berusia lebih dari 100 tahun. Rumah panjang tersebut adalah satu-satunya rumah panjang Melanau tertua dan satu-satunya yang tinggal di dunia. Terletak di Kampung Sok, Matu, rumah panjang tersebut mempunyai 26 pintu kesemuanya. Rupa bentuk binaan rumah panjang di Kampung Sok itu lebih kurang seperti rumah panjang suku kaum Iban. Walaupun berusia lebih dari satu abad, rumah panjang tersebut masih berdiri teguh. 

Walaupun pada zaman dahulu etnik Melanau mempunyai kepercayaan animisme ataupun pagan, majoriti Melanau pada masa kini adalah Muslim terutamanya Melanau Vaie, Matu-Daro, Igan dan Oya dan selebihnya di Balingian, Mukah dan Dalat adalah bercampur iaitu ada yang menganuti agama Kristian dan Islam, dan masih ada diantaranya adalah pagan. Walaupun sudah mempunyai pegangan agama masing-masing, amalan tradisi dan perayaan tradisional masih lagi dirayakan oleh suku kaum Melanau misalnya seperti perayaan Kaul setiap tahun. 

Perkara paling unik dan dianggap sebagai perkara biasa bagi suku kaum Melanau terutamanya bagi mereka yang tinggal bersama di dalam sebuah kampung yang pelbagai adalah mereka masih boleh hidup bersama-sama. Misalnya seperti jika seorang Melanau yang beragama Kristian, Muslim mahupun pagan, walaupun berjiran dengan Melanau yang berbeza agama ataupun serumah dengan saudara yang berbeza agama, perkara tersebut langsung tidak menjadi masalah sama sekali dan ianya adalah perkara normal dan boleh dilihat setiap hari di dalam kehidupan penduduk Melanau khususnya di Mukah dan Dalat. Sikap toleransi dan saling hormat-menghormati di dalam diri seorang Melanau amat tinggi bukan sahaja di bawah satu kampung malah di bawah satu bumbung sekalipun. Biarpun berbeza pegangan agama, jarang sekali kita dengar bahawa etnik Melanau bergaduh sesama mereka kerana perbezaan agama. Sememangnya tidak pernah sama sekali. Ini boleh dijadikan sebagai contoh terbaik terutamanya buat seluruh rakyat Malaysia. Diharapkan perpaduan seperti ini di dalam komuniti Melanau dan khususnya masyarakat Malaysia dan Sarawak itu sendiri kekal sehingga bila-bila hendaknya.