Kaul Sungai Ud, Dalat. Sumber gambar : Nainet @ Naising Bega |
Mengikut cerita penduduk setempat di Kampung Medong, Dalat, kaul di Dalat dikatakan bermula daripada kisah seorang lelaki yang bernama Sepok yang keluar berburu. Panglima berkenaan pergi ke hutan untuk memburu binatang namun telah tersesat dan akhirnya telah tiba ke sebuah rumah panjang yang terletak di kawasan hulu Mukah. Sepok pun bertanya kepada penghuni rumah tersebut di manakah tempat dia berada. Jawab penghuni rumah tersebut, dia telah berada di Sitieng. Ketika berada di rumah panjang tersebut, Sepok telah terlihat seorang gadis yang cantik rupawan dan mempunyai kulit yang putih melepak. Nama gadis tersebut ialah Rirang Rabu Bunga. Sepok bercadang untuk memperisterikan gadis tersebut dengan anaknya. Namun, gadis tersebut telah menolak permintaan Sepok. Setelah diberikan petunjuk jalan pulang, Sepok pun balik ke rumah panjang kediamannya yang terletak di Kampung Medong. Sepok berasa amat kecewa kerana pinangannya itu telah ditolak oleh Rirang Rabu Bunga lalu beliau berunding dengan penduduk kampung untuk mencari jalan memujuk gadis tersebut supaya setuju dengan pinangannya. Beberapa hari kemudian, Sepok telah pergi ke kediaman Rirang Rabu Bunga seawal pagi. Sepok bersama rombongannya ingin menyerang kediaman gadis tersebut di Sitieng. Akan tetapi, penghuni rumah tersebut semuanya telah tiada setibanya mereka ke tempat tersebut. Mereka telah membakar rumah berkenaan. Seluruh bahagian rumah panjang tersebut telah hangus dijilat api namun terdapat satu bilik yang langsung tidak terjejas. Sepok pun naik ke bilik itu ketika api sedang marak. Sepok mendapati bahawa ada sesuatu di dalam bilik tersebut yang telah memberi isyarat awal kepada penghuni rumah itu untuk melarikan diri.
Objek ajaib dan dianggap keramat itulah yang telah menyelamatkan bilik itu daripada hangus terbakar. Objek tersebut dikenali sebagai belisieng. Belisieng akan mengeluarkan bunyi jika penghuni rumah yang memeliharanya di dalam keadaan bahaya dan benda tersebut dapat memberi amaran awal kepada mereka jika sesuatu yang buruk bakal menimpa. Belisieng terdiri daripada beberapa gigi binatang buas yang dipanggil sebagai nyipen buou dan sebiji batu ajaib. Setibanya Sepok dan orang-orangnya di rumah kediaman mereka, pada malam itu Sepok telah bermimpi. Di dalam mimpinya, dia mendengar suara yang menyatakan supaya peliharalah belisieng tersebut dan mempersembahkan jamuan makanan untuk santapannya kerana ianya adalah Rirang Rabu Bunga dan boleh menjadi penawar bagi penduduk kampung. Setelah mendapat alamat mimpi tersebut, maka bermulalah kaul di Medong. Keesokan paginya, Sepok telah berunding dengan penduduk kampung untuk mengadakan suatu ritual untuk menjamu atau memberi makan kepada belisieng. Tidak kurang perbezaannya, kaul di Dalat juga mempunyai beberapa persamaan dengan ritual kaul di Mukah. Maka, penduduk kampung pun mempersiapkan seraheng untuk dipersembahkan kepada belisieng.
Pondok tempat menyimpan belisieng terletak di balairaya Kampung Medong, Dalat. |
Di dalam seraheng tersebut akan diletakkan beras kunyit, bertih dan belen atau pinang. Dari segi doa ritual kaul di Dalat juga mempunyai beberapa persamaan iaitu untuk menjamah Ipok. Doa kaul tersebut pun berbunyi begini :
Keman Ipok Rirang Rabu Bunga
Kamei midar kaau ih jegum daau
Kamei berdoa madak kaau diak bias kamei, jegum murah rezeki
Sejak peristiwa kaul yang pertama diadakan oleh Sepok, maka kaul di Dalat pun terus diadakan setiap tahun sehingga ke hari ini. Belisieng yang dikatakan dibawa dari Sitieng iaitu kawasan yang terletak di bahagian atas Kampung Tabo dan berada di bahagian bawah Kenyana, sekarang masih di simpan di dalam pondok berdekatan balai raya Kampung Medong. Tapak dan kesan peninggalan rumah panjang Sepok juga dikatakan masih wujud walaupun hanya sekadar tiang dan gelegar sahaja yang tinggal. Batang tiang rumah panjang Sepok yang berada di Medong adalah terdiri daripada batang pokok yang tingginya mencapai sekitar 25 kaki.
Waris Sepok telah menjaga dan memelihara Belisieng dengan membersih, memandikan dan memberi hidangan setiap kali kaul diadakan pada setiap tahun sehingga ke hari ini untuk mengelakkan sebarang malapetaka yang akan menimpa peduduk kampung dan untuk mematuhi amanat yang telah dititahkan oleh Rirang Rabu Bunga di dalam mimpi Sepok. Sejak kaul pertama diadakan oleh Sepok, masyarakat Melanau setempat di kawasan tersebut percaya akan kuasa keramat Belisieng. Mereka menghormati dan yakin terhadap kuasanya untuk mengubati penyakit yang sukar untuk dipulihkan dengan cara biasa. Setiap tahun apabila kaul diadakan, segala acara lain tidak akan dijalankan selagi Belisieng tidak dibersihkan. Kaul di Medong tidak akan sempurna tanpa Belisieng dan persembahan untuk memujuk Ipok seperti juga kaul di Mukah, tanpa Seraheng kaul di Mukah tidak akan sempurna kerana Seraheng adalah kepala hantaran dipersembahkan untuk memujuk Ipok yang dikatakan menguasi seluruh semesta alam di dalam kepercayaan Melanau-Liko.
2 comments:
XnBet: Online Betting & Gaming Review - Mobile | Mobile
XnBet ラッキーニッキー has an array of games which is カジノ シークレット a well designed version of its 1XBET famous online betting site. The site features the most extensive sports betting and gaming
siapa yang pernah jadi bapak kaul?
Post a Comment