Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Sunday, May 15, 2016

Kaul Dalat

Kaul Sungai Ud, Dalat. Sumber gambar : Nainet @ Naising Bega
Mengikut cerita penduduk setempat di Kampung Medong, Dalat, kaul di Dalat dikatakan bermula daripada kisah seorang lelaki yang bernama Sepok yang keluar berburu. Panglima berkenaan pergi ke hutan untuk memburu binatang namun telah tersesat dan akhirnya telah tiba ke sebuah rumah panjang yang terletak di kawasan hulu Mukah. Sepok pun bertanya kepada penghuni rumah tersebut di manakah tempat dia berada. Jawab penghuni rumah tersebut, dia telah berada di Sitieng. Ketika berada di rumah panjang tersebut, Sepok telah terlihat seorang gadis yang cantik rupawan dan mempunyai kulit yang putih melepak. Nama gadis tersebut ialah Rirang Rabu Bunga. Sepok bercadang untuk memperisterikan gadis tersebut dengan anaknya. Namun, gadis tersebut telah menolak permintaan Sepok. Setelah diberikan petunjuk jalan pulang, Sepok pun balik ke rumah panjang kediamannya yang terletak di Kampung Medong. Sepok berasa amat kecewa kerana pinangannya itu telah ditolak oleh Rirang Rabu Bunga lalu beliau berunding dengan penduduk kampung untuk mencari jalan memujuk gadis tersebut supaya setuju dengan pinangannya. Beberapa hari kemudian, Sepok telah pergi ke kediaman Rirang Rabu Bunga seawal pagi. Sepok bersama rombongannya ingin menyerang kediaman gadis tersebut di Sitieng. Akan tetapi, penghuni rumah tersebut semuanya telah tiada setibanya mereka ke tempat tersebut. Mereka telah membakar rumah berkenaan. Seluruh bahagian rumah panjang tersebut telah hangus dijilat api namun terdapat satu bilik yang langsung tidak terjejas. Sepok pun naik ke bilik itu ketika api sedang marak. Sepok mendapati bahawa ada sesuatu di dalam bilik tersebut yang telah memberi isyarat awal kepada penghuni rumah itu untuk melarikan diri. 

Objek ajaib dan dianggap keramat itulah yang telah menyelamatkan bilik itu daripada hangus terbakar. Objek tersebut dikenali sebagai belisieng. Belisieng akan mengeluarkan bunyi jika penghuni rumah yang memeliharanya di dalam keadaan bahaya dan benda tersebut dapat memberi amaran awal kepada mereka jika sesuatu yang buruk bakal menimpa. Belisieng terdiri daripada beberapa gigi binatang buas yang dipanggil sebagai nyipen buou dan sebiji batu ajaib. Setibanya Sepok dan orang-orangnya di rumah kediaman mereka, pada malam itu Sepok telah bermimpi. Di dalam mimpinya, dia mendengar suara yang menyatakan supaya peliharalah belisieng tersebut dan mempersembahkan jamuan makanan untuk santapannya kerana ianya adalah Rirang Rabu Bunga dan boleh menjadi penawar bagi penduduk kampung. Setelah mendapat alamat mimpi tersebut, maka bermulalah kaul di Medong. Keesokan paginya, Sepok telah berunding dengan penduduk kampung untuk mengadakan suatu ritual untuk menjamu atau memberi makan kepada belisieng. Tidak kurang perbezaannya, kaul di Dalat juga mempunyai beberapa persamaan dengan ritual kaul di Mukah. Maka, penduduk kampung pun mempersiapkan seraheng untuk dipersembahkan kepada belisieng.


Pondok tempat menyimpan belisieng terletak di balairaya Kampung Medong, Dalat.

Di dalam seraheng tersebut akan diletakkan beras kunyit, bertih dan belen atau pinang. Dari segi doa ritual kaul di Dalat juga mempunyai beberapa persamaan iaitu untuk menjamah Ipok. Doa kaul tersebut pun berbunyi begini :


Keman Ipok Rirang Rabu Bunga
Kamei midar kaau ih jegum daau
Kamei berdoa madak kaau diak bias kamei, jegum murah rezeki


Sejak peristiwa kaul yang pertama diadakan oleh Sepok, maka kaul di Dalat pun terus diadakan setiap tahun sehingga ke hari ini. Belisieng yang dikatakan dibawa dari Sitieng iaitu kawasan yang terletak di bahagian atas Kampung Tabo dan berada di bahagian bawah Kenyana, sekarang masih di simpan di dalam pondok berdekatan balai raya Kampung Medong. Tapak dan kesan peninggalan rumah panjang Sepok juga dikatakan masih wujud walaupun hanya sekadar tiang dan gelegar sahaja yang tinggal. Batang tiang rumah panjang Sepok yang berada di Medong adalah terdiri daripada batang pokok yang tingginya mencapai sekitar 25 kaki. 

Waris Sepok telah menjaga dan memelihara Belisieng dengan membersih, memandikan dan memberi hidangan setiap kali kaul diadakan pada setiap tahun sehingga ke hari ini untuk mengelakkan sebarang malapetaka yang akan menimpa peduduk kampung dan untuk mematuhi amanat yang telah dititahkan oleh Rirang Rabu Bunga di dalam mimpi Sepok. Sejak kaul pertama diadakan oleh Sepok, masyarakat Melanau setempat di kawasan tersebut percaya akan kuasa keramat Belisieng. Mereka menghormati dan yakin terhadap kuasanya untuk mengubati penyakit yang sukar untuk dipulihkan dengan cara biasa. Setiap tahun apabila kaul diadakan, segala acara lain tidak akan dijalankan selagi Belisieng tidak dibersihkan. Kaul di Medong tidak akan sempurna tanpa Belisieng dan persembahan untuk memujuk Ipok seperti juga kaul di Mukah, tanpa Seraheng kaul di Mukah tidak akan sempurna kerana Seraheng adalah kepala hantaran dipersembahkan untuk memujuk Ipok yang dikatakan menguasi seluruh semesta alam di dalam kepercayaan Melanau-Liko.

Saturday, March 26, 2016

Melanau, Tiada Seuniknya



Melanau ataupun A-Liko adalah etnik pribumi di Sarawak, Borneo. Etnik Melanau adalah antara peneroka terawal di Sarawak. Melanau adalah etnik minoriti di Sarawak dengan jumlah penduduknya seramai 200,000 orang daripada 2.4 juta rakyat Sarawak dan suku kaum Melanau ini mewakili 8.4% rakyat Sarawak. Pada tahun 2010, etnik Melanau dianggarkan seramai 123,410 orang yang menjadikan etnik Melanau sebagai etnik kelima terbesar di Sarawak selepas kaum Iban, Cina, Melayu dan Bidayuh.

Pada abad ke-19, taburan komuniti Melanau adalah terletak di sepanjang anak-anak sungai utama di  sekitar Sungai Rajang. Etnik Punan atau Punan Bah dikatakan berkait rapat dengan kawasan penempatan Melanau di Sungai Rajang sebelum etnik Melanau berimigrasi ke pesisir pantai Sarawak. Etnik Punan sebelum ini dikatakan pernah mendiami kawasan kediaman masyarakat Melanau yang terletak di tengah-tengah dan bahagian hulu Sungai Rajang. 

Apa yang menarik tentang Melanau adalah, etnik Melanau mempunyai banyak bahasa mengikut kawasan. Ada juga diantaranya telah pupus kerana tidak dituturkan dan ada juga yang diancam kepupusan. Jenis suku Melanau dapat diklasifikasikan mengikut dialek dan kawasan seperti berikut ; 

Kuala Rajang
  • Melanau Rajang
  • Melanau Jerijeh
  • Melanau Belawai
  • Melanau Segalang
  • Melanau Paloh


Seduan - Sibu
  • Melanau Sibu
  • Melanau Kanowit
  • Melanau Tanjong
  • Melanau Igan
  • Melanau Banyuk
  • Melanau Seduan


Matu - Daro
  • Melanau Matu
  • Melanau Daro
  • Melanau Pulau Bruit 
  • Melanau Batang Lasa


Mukah - Dalat
  • Melanau Mukah
  • Melanau Oya
  • Melanau Dalat


Melanau Balingian (diancam kepupusan kerana ramai anak Melanau Balingian kini bertutur bahasa Melanau Mukah)


Bintulu
  • Melanau Vaie 
  • Melanau Tatau
  • Melanau Niah
  • Melanau Sungai Kemena
  • Melanau Sibiew


Dialek Melanau yang telah pupus
  • Melanau Sitieng
  • Melanau Beliun
  • Melanau Segalang
  • Melanau Seru



Pada masa kini, kita boleh menyaksikan penempatan suku kaum Melanau paling banyak adalah di Bahagian Mukah dan secara tidak langsung telah menjadikan penduduk majoriti di dalam bahagian Mukah adalah dari suku kaum Melanau itu sendiri. Bahagian Mukah yang merangkumi dari daerah Balingian, Mukah, Oya, Dalat, Igan, Matu, Daro, dan Belawai juga telah dikenali sebagai "The Melanau Heartland". Justeru, penempatan imigrasi Melanau juga dapat dijumpai di sekitar Kuching dan Miri. Di Kuching, penduduk Melanau Matu dikatakan telah berimigrasi ke Bintawa sejak perang dunia ke-2. Manakala di Miri pula, komuniti Melanau yang kebanyakkannya Melanau Mukah dapat dijumpai di mana-mana khususnya di Kampung Wireless, Kampung Bakam dan Piasau Utara. Apa yang unik mengenai Kampung Piasau Utara adalah, boleh dikatakan majoriti masyarakat di situ adalah terdiri dari orang Melanau Mukah sendiri dan boleh diibaratkan sebagai "Small Mukah Village".

Etnik Melanau secara tradisinya adalah nelayan dan petani tanaman rumbia. Ada juga diantaranya adalah pembuat bot yang sangat mahir. Jadi, tidak hairanlah suku kaum Melanau ini digelar sebagai orang sungai dan dikenali dunia sebagai pelayar dan pelaut yang hebat suatu ketika dahulu. Etnik Melanau pada asalnya juga mendiami rumah tradisionalnya yang tersendiri seperti kaum lain di Sarawak misalnya seperti kaum Iban yang tinggal di rumah panjang. Suku kaum Melanau tinggal di sebuah rumah besar yang lebih dikenali sebagai Melanau Tall House atau Lebuk Regau. Walaupun pada masa kini suku kaum Melanau tidak lagi mendiami rumah tinggi seperti dahulu kala, namun mereka masih bergaul bersama di dalam satu kampung malah satu bumbung walaupun berbeza agama. Tinggalan rumah tinggi Melanau masih boleh disaksikan di Kampung Tellian, Mukah dan di Kampung Medong, Dalat. Hanya tiang seri rumah sahaja yang tinggal. Tiang-tiang tersebut adalah tiang rumah tinggi Melanau yang pernah berdiri gah suatu ketika dahulu yang telah hangus terbakar. Pada masa kini, rumah tradisional Melanau boleh disaksikan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching sebagai pengenalan kepada orang ramai rupa bentuk atau replika rumah tradisi suku kaum Melanau yang asli. Walaupun rumah tradisional Melanau yang asli kebanyakkannya telah pupus, masih terdapat sebuah lagi rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga kini dan dikatakan berusia lebih dari 100 tahun. Rumah panjang tersebut adalah satu-satunya rumah panjang Melanau tertua dan satu-satunya yang tinggal di dunia. Terletak di Kampung Sok, Matu, rumah panjang tersebut mempunyai 26 pintu kesemuanya. Rupa bentuk binaan rumah panjang di Kampung Sok itu lebih kurang seperti rumah panjang suku kaum Iban. Walaupun berusia lebih dari satu abad, rumah panjang tersebut masih berdiri teguh. 

Walaupun pada zaman dahulu etnik Melanau mempunyai kepercayaan animisme ataupun pagan, majoriti Melanau pada masa kini adalah Muslim terutamanya Melanau Vaie, Matu-Daro, Igan dan Oya dan selebihnya di Balingian, Mukah dan Dalat adalah bercampur iaitu ada yang menganuti agama Kristian dan Islam, dan masih ada diantaranya adalah pagan. Walaupun sudah mempunyai pegangan agama masing-masing, amalan tradisi dan perayaan tradisional masih lagi dirayakan oleh suku kaum Melanau misalnya seperti perayaan Kaul setiap tahun. 

Perkara paling unik dan dianggap sebagai perkara biasa bagi suku kaum Melanau terutamanya bagi mereka yang tinggal bersama di dalam sebuah kampung yang pelbagai adalah mereka masih boleh hidup bersama-sama. Misalnya seperti jika seorang Melanau yang beragama Kristian, Muslim mahupun pagan, walaupun berjiran dengan Melanau yang berbeza agama ataupun serumah dengan saudara yang berbeza agama, perkara tersebut langsung tidak menjadi masalah sama sekali dan ianya adalah perkara normal dan boleh dilihat setiap hari di dalam kehidupan penduduk Melanau khususnya di Mukah dan Dalat. Sikap toleransi dan saling hormat-menghormati di dalam diri seorang Melanau amat tinggi bukan sahaja di bawah satu kampung malah di bawah satu bumbung sekalipun. Biarpun berbeza pegangan agama, jarang sekali kita dengar bahawa etnik Melanau bergaduh sesama mereka kerana perbezaan agama. Sememangnya tidak pernah sama sekali. Ini boleh dijadikan sebagai contoh terbaik terutamanya buat seluruh rakyat Malaysia. Diharapkan perpaduan seperti ini di dalam komuniti Melanau dan khususnya masyarakat Malaysia dan Sarawak itu sendiri kekal sehingga bila-bila hendaknya.