Sunday, March 27, 2016

Gual Saneng



Kaul biasanya diraikan oleh suku kaum Melanau pada bulan Pengejin, iaitu di antara penghujung bulan Mac atau awal bulan April. Pada zaman dahulu, tarikh kaul ditetapkan oleh seorang pemimpin di peringkat kampung yang dikenali sebagai A-Nyat. Penetapan tarikh kaul tertakluk pada beberapa faktor. Antara faktor yang diambil kira di dalam menentukan tarikh sesuai ialah cuaca yang baik seperti hari tidak hujan, laut tidak bergelora dan air tidak pasang pada sebelah pagi hingga tengah hari. Bagaimanapun, sejak dua dekad lalu, yang menentukan tarikh kaul di daerah Mukah ialah Jawatankuasa Kaul yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dengan ahlinya termasuk Pemanca, Penghulu dan Ketua Kampung. Penetapan tarikh ada kebaikannya. Ini akan memudahkan penduduk setempat mengetahui bilakah tarikh sebenar kaul akan diadakan. Kini, tarikh Pesta Kaul Mukah telah dimasukkan ke dalam kalendar perlancongan Sarawak. Tarikh perayaan kaul tidak diselaraskan untuk keseluruhannya kerana setiap kampung dan kawasan akan mengadakannya pada masa yang berlainan. Kaul di Oya, Dalat, Mukah dan kawasan penempatan kaum Melanau yang lain tidak diraikan pada tarikh dan hari yang sama. 

Apabila tarikh kaul telah ditetapkan, seorang wakil kampung akan memukul canang atau gong pada malam sebelum kaul diadakan. Wakil yang dipilih adalah seorang lelaki yang mempunyai suara yang lantang dengan bahasa yang lancar dan masih cergas untuk menjalankan tugas. Di kampung Tellian, Mukah misalnya, antara orang yang pernah diamanahkan untuk memukul canang ialah Alam Brahim, Sepaong Mum dan Pateran Lebai. Canang akan dipukul sekitar jam 7 malam ketika penduduk kampung sudah berada di rumah masing-masing sekembalinya dari hutan, kebun dan laut. Pengumuman akan dibuat dari hulu hingga ke hilir sungai. Tukang pukul canang akan ditemani oleh seorang pembantu yang akan mengemudi dan mengayuh perahu. Di sesetengah kampung, tukang pukul canang juga dikenali sebagai Tukeng Gual. Pengumuman yang dibuat oleh tukang pukul canang berbunyi seperti berikut :

Woi kelou a dekakak
Wak bei lubeang kapoung
Itou saneng kuman perintah
Peteguoh gak kelou semua
Lai mahou, nyat umik
Lau minggu itou neh telou bak kaul
Sedia awel suab
Bak pegupul gak kala dana
Telou bak kaul



Sumber daripada facebook Encik Eduine Kusai 


Pengumuman akan dilakukan sebanyak dua kali. Pengumuman pertama akan dibuat tujuh hari sebelum hari kaul berlangsung dan pengumuman kedua ialah pada malam sebelum kaul berlangsung keesokan harinya. Pengumuman pertama itu memberi masa yang mencukupi kepada penduduk kampung untuk membuat persiapan. Mereka sekurang-kurangnya dapat membuat perancangan awal dari segi pengurusan kerja. Selepas upacara kaul selesai dijalankan, penduduk setempat tidak akan keluar ke hutan dan ke laut untuk beberapa hari. Maka, segala pekerjaan yang belum disiapkan akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari sebelum hari kaul berlangsung. Bagi mereka yang telah mengetahui tarikh itu lebih awal, mereka akan membuat persiapan untuk menghiasi perahu yang akan digunakan semasa kaul dan akan menyiapkan makanan seperti lauk pauk dan kuih muih yang akan dibawa sebagai bekal untuk dibawa ke tapak upacara kaul yang akan dijalankan nanti. Persiapan awal amat penting bagi memastikan semua orang dapat menyertainya dan upacara kaul dapat dijalankan dengan lancar. Sudah menjadi tradisi dan amalan masyarakat Melanau sejak zaman dahulu, semua penduduk dijemput hadir untuk turut meraikannya walaupun pendirian terhadap kaul sudah banyak berubah pada masa kini.  


2 comments:

Unknown said...

"Gugan" reti siyen terlalu umum untuk perbuatan "membunyikan". Dagen konteks kaul melou, pengumuman kaul lebih keneta'ou ngan "gual saneng", sebab ayunan kayou atau "pegual" iyen bei susunan irama khas. Sama kawak ngan istilah "menyaneak saneng" dagen gegan muhai atau gegan a matai, nda kena pebak istilah gual sebab irama siyen berbeza jegem perbuatan menyaneak iyen nda sama ngan megual. Sedangkan gugan adalah perbuatan umum bak subet saneng yen pelengan. Sekadar perkongsian dari sebalik tabir.

Unknown said...

terimak kasih gak new eduine kusai. neh akw membetul baliek mana wak salak.