Tama Kaul atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai bapa kaul, adalah seorang ketua upacara bagi mengetuai ritual kaul. Jawatan Tama Kaul dianggap amat penting kerana sebagai seorang ketua, Tama Kaul bertanggungjawab untuk memastikan upacara itu berjalan mengikut peraturan dan adat yang telah diperadatkan sejak turun temurun dan akan menjadi perantara atau menjadi orang tengah untuk berhubung dan berkomunikasi di antara masyarakat di alam nyata dengan Ipok di alam maya. Tama Kaul juga bertanggungjawab untuk memujuk dan merayu kepada Ipok untuk menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa, malah Tama Kaul juga perlu untuk memastikan segala pantang larang dipatuhi dan akan menghukum mereka yang ingkar. Tama Kaul mestilah seorang lelaki, diiktiraf oleh masyarakat dan arif tentang selok belok adat. Tama Kaul tidak boleh dilantik atau dipilih dari orang yang sembarangan. Tama Kaul akan dilantik berdasarkan pengalaman, status, dan pengetahuannya yang mendalam tentang adat tersebut. Tama Kaul kebiasaannya adalah seorang yang dihormati dan disegani oleh masyarakat kerana keperibadiannya, keturunannya, jawatan dan berpengetahuan luas tentang adat resam dan budaya Melanau.
Tama Kaul bagi masyarakat Melanau di Mukah adalah berbeza dengan Tama Kaul di Dalat. Di Dalat, Tama Kaul adalah daripada keturunan Sepok. Sepok adalah seorang panglima yang berasal dari Kampung Medong, Dalat. Adat kaul di Dalat dikatakan bermula setelah Sepok memelihara belisieng. Orang lain tidak boleh menjadi Tama Kaul di Dalat kerana ianya sudah menjadi adat turun temurun dan semacam sumpahan bagi keturunan Sepok. Jawatan Tama Kaul dari keturunan Sepok di Dalat dikatakan belum pernah digantikan sejak beberapa generasi kerana penduduk setempat takut akan terjadi sesuatu yang tidak diingini menimpa mereka jika mereka mengingkarinya. Lebih dari sembilan orang daripada keturunan Sepok telah menjadi Tama Kaul. Masyarakat setempat percaya bahawa Tama Kaul dari keturunan Sepok mempunyai keramat untuk menjalankan upacara kaul lebih-lebih lagi untuk memandikan belisieng yang telah dipelihara sejak berkurun lama.
Tama Kaul sebagai orang yang telah diberi amanah untuk memujuk Ipok secara langsung melalui doa yang dizahirkan mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan amanah yang diletakkan di atas bahunya dapat dilaksanakan sebaik-baiknya. Mereka lah yang menjadi tempat bergantung harap masyarakat setempat, terutamanya pada zaman dahulu. Doa yang disampaikan oleh Tama Kaul di dalam upacara kaul menjadi penentu bagi nasib dan kehidupan penduduk setempat. Sebagai perantara antara manusia dengan Ipok, beban tanggungjawab itu tidak boleh dipandang enteng oleh mereka yang bergelar Tama Kaul. Oleh itu, kedudukan mereka sebagai pemimpin elit tradisional amat dihormati oleh masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment