Kaul adalah suatu perayaan yang diraikan oleh suku kaum Melanau di Sarawak, Borneo. Perayaan kaul biasanya diraikan oleh suku kaum Melanau yang tinggal di bahagian Mukah. Pada zaman dahulu, kaul dilihat sebagai suatu majlis keagamaan iaitu upacara penyucian dan kesyukuran bagi suku kaum Melanau untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan dan ladang yang dikenali sebagai Ipok. Kaul juga dirayakan sebagai tanda terima kasih dan untuk memohon restu daripada Ipok supaya memperolehi kedamaian serta nasib yang baik di dalam menjalani kehidupan seharian. Pada zaman dahulu, suku kaum Melanau mempercayai bahawa Ipok adalah penjaga bagi sekalian alam.
Kaul kebiasaannya akan diadakan pada permulaan atau pembuka tahun baru mengikut kalendar suku kaum Melanau iaitu pada bulan Pengejin, sekitar bulan Mac dan April jika dirujuk melalui kalendar Gregory. Ianya amat bertepatan dengan berakhirnya musim monsun timur laut atau musim tengkujuh yang amat memberi kesan kepada kehidupan seharian suku kaum Melanau yang kebanyakkannya adalah petani dan nelayan. Contoh kesan buruk musim tengkujuh kepada penduduk setempat adalah, para nelayan akan menghadapi kesukaran untuk turun ke laut dan musim tengkujuh juga akan menyebabkan banjir di kampung-kampung tertentu yang mengakibatkan tanaman musnah disebabkan oleh banjir.
Kaul akan diadakan mengikut hari dan tarikh yang tertentu. Di dalam sesebuah kampung, seorang ketua akan dilantik bagi menentukan tarikh kaul. Orang itu dikenali sebagai A-Nyat. A-Nyat akan menentukan bilakah hari terbaik untuk mengadakan kaul. Setelah tarikh ditetapkan oleh A-Nyat, seorang tukang pukul canang ataupun tukang gual akan dilantik bagi mengumumkan kepada seluruh kampung tentang tarikh kaul yang bakal diadakan. Tukang gual akan keluar sekitar jam 7 malam iaitu ketika penduduk kampung sudah berada di rumah masing-masing sekembalinya mereka dari laut dan hutan. Tukang gual akan ke hulu dan ke hilir sungai mengumumkan tentang tarikh kaul. Tarikh kaul akan diumumkan seminggu sebelum hari kaul diadakan. Maka, penduduk kampung akan bersiap-siap di dalam tempoh tersebut untuk menghabiskan sisa-sisa kerja di hutan misalnya dan untuk bergotong royong menyiapkan bahan-bahan bagi upacara kaul.
Kaul Mukah pada awal 60-an |
Apabila tibanya hari kaul, penduduk kampung akan berkumpul pada awal pagi di setiap kampung masing-masing. Seorang ketua yang dilantik akan mengetuai upacara tersebut. Orang tersebut dikenali sebagai Tama Kaul ataupun bapa kaul. Pada zaman dahulu, kaul bagi setiap kampung adalah berbeza, malah kaul bagi daerah Mukah dan Dalat juga berbeza caranya. Ada kampung yang hanya meraikan kaul di setiap kuala-kuala sungai. Misalnya seperti penduduk Kampung Sesok, akan berkaul di kuala Sungai Sesok. Selain itu, ada juga penduduk kampung yang akan meraikan kaul di pantai terutamnya penduduk kampung yang tinggal di kawasan hilir yang berdekatan dengan pantai. Kebiasaannya, kaul akan dimulakan di bahagian hulu sungai terlebih dahulu dan akan berakhir di pantai. Penduduk kampung akan membawa Seraheng, iaitu sebagai jamuan untuk santapan Ipok atau lebih dikenali sebagai kepala hantaran. Di dalam Seraheng, akan diletakkan makanan. Seraheng itu tadi akan dipacakkan di atas tanah tempat upacara kaul akan diadakan. Misalnya di pantai Kala Dana, Seraheng akan dipacakkan di tugek pantai Kala Dana. Dan misalnya di Penakub, seraheng akan dipacakkan di atas tebing kuala Sungai Penakub. Ritual tersebut akan dimulakan oleh Tama Kaul dengan membaca doa kaul ataupun miyap mibau untuk menyeru Ipok. Fungsi Tama Kaul di dalam upacara ini adalah sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan Ipok. Hanya Tama Kaul sahaja yang boleh berkomunikasi dengan Ipok. Sebab itulah Tama Kaul adalah seorang yang dilantik dan bukanlah orang yang sembarangan. Setelah selesai upacara kaul, para pengunjung akan makan beramai-ramai di kawasan kaul tersebut. Penduduk kampung akan berpantang selama tiga hari selepas upacara kaul selesai diadakan. Di dalam tempoh palei tersebut, penduduk kampung tidak dibenarkan untuk keluar ke laut dan ke hutan. Jika ada yang ingkar, seseorang itu akan dianggap biadap dan sengaja mencari masalah. Sesuatu yang buruk dikatakan akan menimpa kepada seseorang yang ingkar untuk berpantang selama tiga hari selepas upacara kaul.
Perubahan agama dan anutan di dalam kalangan masyarakat Melanau pada hari ini turut mengubah aplikasi dan kepercayaan kaul yang asli. Kehadiran Islam dan Kristian telah membawa senario yang
baru kepada kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai sebuah pesta sosio-budaya untuk mengekalkan adat warisan suku kaum Melanau sejak berkurun lamanya. Namun, di dalamnya masih terselit keunikan warisan bangsa Melanau di bumi Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut peredaran masa. Kini, pesta kaul telah menjadi medan perkelahan komuniti terbesar bagi masyarakat Melanau.
No comments:
Post a Comment